Kamis, 04 Juni 2009

Ilmu Teknologi Komputer

1. 1 PENGENALAN
Arkeologi umumnya sering dikaitkan dengan unsur-unsur pengembaraan yang mencabar, penemuan yang bernilai, kisah-kisah misteri, tamadun-tamadun purba dan watak-watak utama dalam filem cereka seperti Indiana Jones dan The Lost of King Solomon Mines. Gambaran-gambaran sedemikian hanyalah tokok tambah dari gambaran sebenar bidang ini. Arkeologi sebagai satu disiplin ilmiah telah berkembang lebih dari tiga abad lalu merupakan satu disiplin ilmu yang khusus dalam menyingkap masa lalu manusia dan membinanya semula untuk tatapan masa kini. Ianya berkembang dari satu hobi kepada satu disiplin ilmu yang serius dengan metodologi, teori, teknik dan teknologi yang sentiasa perubahan.
Penemuan-penemuan besar dalam perkembangan arkeologi seperti makam-makam diraja Firaun, tinggalan-tinggalan empayar Rom, Maya dan Aztec, kuil dan candi Hindu-Buddha seperti Angkor Wat dan Borobudor sentiasa mendapat liputan luas oleh media massa dan membentuk gambaran umum yang menarik. Namun demikian, kegagalan, kekecewaan, pengorbanan, kepayahan ahli arkeologi dalam melaksanakan dan mengembangkan bidang ini amat jarang diketahui oleh masyarakat umum.
1. 2 APA ITU ARKEOLOGI ?
Arkeologi berasal dari perkataan Yunani iaitu arkhaiologia yang bererti perbincangan tentang benda purba atau silam. Istilah ini digubah semula pada abad ke 17 oleh seorang sarjana German bernama George Daux. Terdapat pelbagai definasi tentang arkeologi dan sebagai satu disiplin yang dinamik, ianya telah berubah-ubah bersesuaian dengan ruang kajiannya yang semakin luas dengan aplikasi teknologi semasa. Antara definisi-definisi yang sering digunakan oleh ahli arkeologi dalam merujuk kepada pengertian bidang ini ialah seperti:-
1. Paul Bahn menyatakan pengertian asas arkeologi ialah satu kajian sistematik tentang masa lampau yang berasaskan budaya kebendaan dengan bermatlamat untuk membongkar, menerangkan dan mengklasifikasikan tinggalan-tinggalan budaya, menguraikan bentuk dan perilaku masyarakat masa silam serta memahami bagaimana ia terbentuk dan akhir sekali merekonstraksinya semula.
2. Grahame Clark mendefinisikan arkeologi sebagai satu bentuk kajian yang sistematik ke atas bahan-bahan purba bagi membentuk semula sejarah. Cottrell Leonard pula mendefinisikan arkeologi sebagai satu cerita mengenai manusia dengan merujuk kepada tinggalan seperti peralatan yang digunakan, monumen, rangka manusia dan segala yang terhasil dari inovasi yang diciptanya.
3. Glyn Danial mendefinasikan arkeologi sebagai satu cabang sejarah yang mengkaji tinggalan-tinggalan masa lampau. Kajian sejarah yang menggunakan segala maklumat sama ada
ME 2733: Pengantar Arkeologi 3
bertulis, epigrafik atau tinggalan dengan matlamat akhir untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang manusia masa silam.
4. Frank Hole dan Robert F. Heizer pula merujuk arkeologi sebagai suatu kajian tentang masa silam manusia yang dikaji terutamanya melalui bahan-bahan peninggalan. Arkeologi juga merupakan satu susunan kaedah dan tatacara penyelidikan masa lalu yang mengambarkan data-data yang diperolehi dan latihan akademik serta orentasi teori ahli arekologi.
5. Robert J. Sharer dan Wendy Ashmore melihat arkeologi sebagai bahagian khusus tentang teknik yang digunakan dalam menbongkar bukti tentang masa lalu dan sebagai satu disiplin yang mengkaji masyarakat dan kebudayaan silam berdasarkan budaya kebendaan ianya menerangkan perkembangannya serta bagaimana ianya berlaku.
6. Glyn Isaac menyatakan disiplin arkeologi sebagai satu disiplin yang cuba menerangkan hubungan di kalangan manusia dan di antara manusia dengan dunia kebendaan. Menurutnya lagi, ianya merupakan bukan satu disiplin sains jati, sains sosial dan cabang kemanusiaan tetapi lebih merupakan usaha khusus atau tempat untuk semua bidang bertemu.
7. J. de Leat menganggap arkeologi sebagai satu disiplin sains dan cabang kepada bidang sejarah.
8. Walter Tylor menyatakan arkeologi tidak lebih daripada suatu kaedah dan kumpulan teknik yang khusus untuk mendapatkan maklumat mengenai budaya.
9. Nik Hassan Shuhaimi menerangkan pengertian arkeologi pada mulanya ialah satu bentuk kajian ke atas bahan purba melalui kaedah deskriptif yang sistematik pada sekitar awal abad ke 18 kemudiannya berkembang kepada maksud sejarah purba pada abad ke 19 dan kini sebagai satu disiplin yang bertujuan untuk membentuk semula sejarah kebudayaan, sejarah cara hidup dan proses kebudayaan masyarakat pra sejarah, proto sejarah dan sejarah dengan mengkaji artifak dan non artifak serta melihatnya dalam konteks alam sekitar.
Daripada definisi dan pengertian di atas dapatlah dirumuskan bahwa bidang arkeologi merupakan satu disiplin ilmu yang mengkaji tentang manusia dan kebudayaan masa silam berdasarkan kepada tinggalan dengan kaedah penyelidikan yang sistematik dengan menggunakan pelbagai pendekatan disiplin-disiplin yang lain seperti sejarah, antropologi, geologi, geografi, matimatik, fizik, zoologi, botani, senibena, kejuruteraan dan lain-lain. Penumpuan terhadap tinggalan-tinggalan kebudayaan tidak hanya tertumpu kepada aspek kebendaan yang dikategorikan kepada buatan manusia tetapi juga yang bersifat bukan buatan tetapi terhasil secara tidak langsung kesan daripada tindakan manusia dalam membina kebudayaannya yang dikategorikan sebagai non-artifak.